Thursday, August 4, 2011

WANITA DAN RAMADHAN

Oleh: Lubabah Muhsin, Tamhidi, Pengajian Islam, Universiti Al-Azhar (Kaherah)

Kelihatan Musmirah sedang duduk termenung di satu sudut biliknya. Wajahnya muram. Ketika ditanya apakah sebabnya dia bermuram durja? Katanya, ”Aku sedang bersedih kerana Ramadan akan pergi. Aku tidak tahu apakah aku akan bertemu Ramadan lagi, aku juga tidak tahu apakah Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan yang lepas.” Di satu sudut yang lain, kelihatan Saleha sedang bersuka ria. Ketika ditanya apakah sebabnya dia bersuka ria? Katanya, “Tak sabar rasanya menyambut Hari Lebaran. Nenek di kampung mesti sedang menunggu kepulangan kami sekeluarga. Nikmati lemang, kuih raya, rendang, ketupat dan sebagainya. Seronoknya…”

Inilah dua perasaan yang bakal dikecapi oleh anak-anak muda sekarang. Bagi yang benar-benar menghayati kenikmatan ibadah pada bulan Ramadan, kesedihan akan menyelubungi saat hari-hari terakhir bulan barakah tersebut. Manakala, bagi insan yang hanya menunaikan perintah Yang Maha Esa tanpa ingin memahami untuk apakah tuntutan puasa itu, kelak dia hanya beroleh lapar dan dahaga.

“Ibu, waktu berbuka nanti, kakak nak makan kebab, mee kantonis, cendol, air jagung, nasi ayam…”

“Kakak, makan berlebihan kan boleh memudaratkan kesihatan. Lagipun, tak baik membazir. Allah berfirman :

Sesungguhnya membazir itu saudara syaitan.’ (Al-Israa : 27)

“Kakak nak kawan dengan syaitan?”

“Tak naklah. Syaitan kan makhluk yang dilaknat Allah kerana ingkar kepada perintah Allah.”

“Pandai anak ibu. Bersederhanalah ya,” pesan ibu.

“Terima kasih ibu sebab ingatkan kakak.”

“Kakak, bangun sahur. Dah lewat ni. Nanti tak sempat nak sahur,” ibu mengejutkan kakak.

“Kena bangun ke ibu? Malam tadi kakak dah makan banyak, tak larat rasanya nak bangun.”

“Kan ibu dah pesan, jangan makan banyak. Nanti susah nak bangun sahur. Makanlah sikit.”

“Baik ibu. Kakak nak basuh muka kejap.”

“Dah baca doa?” tanya ibu lembut.

“Dah. Ibu,kakak nak tanya soalan boleh? Kenapa kita kena bersahur?”

“Boleh, sayang. Rasulullah SAW bersabda:

‘Bersahurlah, sesungguhnya makan sahur itu ada berkatnya.’ (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

“Seelok-eloknya lewatkanlah bersahur dan percepatkanlah berbuka. Kita sayang Nabi kita bukan? Sebaiknya kita amalkan sunnahnya. Cepat makan, kejap lagi dah nak azan Subuh.”

“Kakak, cepat bersiap. Anak Mak Kiah yang sulung tu dah bersalin anak perempuan. Dia dah ada di hospital. Kita pergi ziarah ya,” ujar ibu sambil berkemas. Di hospital, ramai sanak saudara datang ziarah. Adab ziarah orang sakit, tak perlu berlama-lama memandangkan pesakit perlu istirehat. Sebaik tiba di rumah.

“Ibu, sekarang kan bulan Ramadan. Kak Munirah tu boleh berpuasa ke ibu? Kasihan kakak tengok Kak Munirah, macam tak larat je. Kakak pernah dengar tentang darah nifas, darah haid dan darah istihadah. Tapi tak faham sangat. Boleh ibu tolong jelaskan?”

“Islam memberikan rukhsah(keringanan) bagi setiap hamba-Nya dalam mengerjakan ibadah. Dalam kes Kak Munirah, bagi wanita yang baru melahirkan anak, diharamkan ke atasnya berpuasa seperti wanita suci yang lain kerana darah nifas. Nifas adalah darah yang keluar selepas bersalin. Biasanya ia akan ambil masa 40 hari atau paling lama 60 hari dan diwajibkan qada’ puasa setelah suci. Manakala, jika keluar darah haid, diharamkan berpuasa sama ada puasa sunat atau puasa fardhu. Tetapi wajib mengqada’ puasanya sepertimana Saiditina ‘Aisyah RA berkata :

‘Apabila yang demikian itu (haid) menimpa kami, maka kami disuruh oleh Rasulullah mengqada’ puasa namun tidak disuruh mengqada’ solat.’ (Hadis 335 Sahih Muslim)

Jika darah istihadah pula, darah yang keluar secara berterusan bagi seorang wanita melebihi 15 hari, iaitu tempoh haid paling lama dan ia digelar darah penyakit. Diwajibkan berpuasa dan melakukan amalan-amalan biasa seperti wanita suci. Hukumnya sama seperti wanita suci selain tiga perkara :

(1) Hendaklah wajib berwudhu’ setiap kali hendak solat. Sabda Rasulullah SAW kepada Fathimah binti Abi Hubaisy RA:

“Kemudian hendaklah kamu berwudhu’ pada setiap solat.” (Hadis 228 Sahih Al-Bukhari)

(2) Apabila wanita yang beristihadah hendak berwudhu’, hendaklah dia membasuh kesan darah dan mengikat farajnya dengan cebisan kain yang dilapik dengan kapas supaya dapat menahan darah. Sabda Rasulullah SAW kepada Himnah RA:

“Aku akan terangkan untuk kamu (cara menggunakan) al-Kursuf (kapas yang diletakkan di faraj), sesungguhnya ia dapat menghilangkan darah.” Himnah berkata: “Ia (darah saya) lebih banyak dari demikian itu”. Rasulullah bersabda: “Maka hendaklah kamu mengekangnya (mengikatnya).” (Hadis 248 Sunan Abu Daud)

(3) Bersetubuh, maka para ilmuan berselisih pendapat mengenai kebolehannya. Pendapat yang sahih adalah ianya harus (dibolehkan) tanpa sekatan berdasarkan sebab-sebab berikut:

  • Merupakan satu kelaziman bagi para wanita pada zaman Rasulullah SAW mengalami istihadah. Akan tetapi Allah dan Rasul-Nya tidak pernah menegah para suami daripada menyetubuhi isteri mereka.
  • Allah SWT berfirman:

‘Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu’. (Al-Baqarah 2:222)

“Ayat ini menjadi dalil bahawa larangan bersetubuh hanyalah ke atas isteri yang sedang haid, tidak selain itu.”

Terang ibu kepada kakak dengan panjang lebar. Berkerut-kerut dahi kakak untuk memahami penjelasan ibu, lebih-lebih lagi apabila berkisar hukum fiqh.

“Lama kelamaan kakak akan faham. Sudahlah, mari kita tadarus Al-Quran bersama. Perbanyakkanlah bekal sementara kita masih di bulan Ramadan yang mulia ini, dan sebaik-baik bekal adalah TAQWA,” ujar ibu lembut sambil menepuk bahu kakak. Kakak hanya menunduk patuh.

Seakan terdengar laungan takbir, “Allahuakbar!”, saat kemenangan berpihak kepada umat Islam pada Perang Tabuk, Perang Badar & Perang Ain Jalut. Kemenangan ini dicapai pada bulan Ramadhan. Inilah bukti Ramadhan adalah bulan kekuatan.

Seakan terasa peritnya sengsara yang dideritai oleh saudara kita di bumi Palestin. Tetap tegar berjuang merampas kembali tanah tumpah darah mereka. Tiada istilah mengalah, bahkan terus gagah melangkah walau sakit yang menghimpit saat peluru musuh laju menembus dada-dada pejuang berani mati. Merekalah pejuangistisyhadiah,memburu mati syahid.

Seakan terdengar rengekan anak kecil yang menahan kelaparan, ”Ibu…saya lapar ibu…”. Tiada apa yang mampu diberikan sang ibu saat kebuluran melanda negara mereka, negara Afrika. Hanya air mata yang mampu menitis tika melihat buah hati mereka merengek kelaparan. Jadilah hamba yang bersyukur.

Kita tidak tahu sejauh mana amal kita selama ini akan membawa kita menuju ke Jannah. Terlalu ramai yang ditimpa kelalaian, bahkan masih ‘lena’ dibuai mimpi. Bagi kita yang sedar hakikat untuk apa kita diciptakan, bangkitlah. Kejutkanlah mereka yang masih ‘lena’.