Friday, August 14, 2009

Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia Ke-37



Bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (DECTAR), akan berlangsung majlis Konvokesyen UKM  Ke-37. Konvokesyen diadakan sebanyak 10 Sidang  melibatkan 7,674 orang penerima pelbagai anugerah termasuk 5 Profesor Emeritus, dan 2 Ijazah Kehormat.

UKM berjaya mengeluar seramai 131,256 graduan sepanjang 39 tahun penubuhannya dengan pecahan seperti berikut, Ijazah Sarjana Muda (113,975), Ijazah Sarjana (13,641), Ijazah Sarjana Kepakaran (2254) dan Ijazah Doktor Falsafah (1389).                                                       

Pada pagi 15 dan 17 Ogos 2009 iaitu sidang pertama dan kelima, majlis akan dipengerusi  oleh DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor baru UKM. Dari jumlah 7,674 graduan, 207 daripadanya adalah penerima Ijazah Doktor Falsafah, 174 penerima Ijazah Sarjana Kepakaran Perubatan dan Pergigian, 1357 penerima Ijazah Sarjana, 5607 penerima Ijazah Sarjanamuda, 251 penerima Diploma Siswazah, 77 penerima Diploma dan seorang penerima Sijil. 

Pada konvokesyen kali ini, UKM memberi penganugerahan kepada 7 orang tokoh yang banyak menyumbang khidmat dan tenaga kepada universiti, masyarakat, dan negara khususnya selain cemerlang dalam bidang yang diceburi. Seramai 2 orang penerima Ijazah Kehormat Dato’ Dr. Hj. Mohd Ariffin Hj. Mohamed bidang pergigian dan Dato’ Sri Ir. Dr. Judin Abdul Karim bidang Kejuruteraan. 5 orang penerima Anugerah Profesor Emeritus/ Emerita iaitu Prof. Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong, Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Anuwar Ali, Prof Chamsuri Siwar, Prof Dato’ Dr. Noramly Muslim dan Prof. Datin Dr. Norella Kong Chiew Tong. Mereka terdiri dari kalangan profesor dan bekas professor UKM yang masih memberi perkhidmatan cemerlang walaupun sudah mencapai umur persaraan.

UKM juga berjaya mengeluarkan graduan Ijazah Doktor Falsafah melebihi 100 orang selama 5 tahun berturut-turut. Dalam bidang kepakaran perubatan, seramai 8 orang bakal dianugerah Ijazah Sarjana Perubatan iaitu Perubatan Kecemasan. Kumpulan ini adalah kumpulan sulung yang dikeluarkan oleh Fakulti Perubatan. Selain itu, UKM juga mengeluar seramai 13 graduan Ijazah Sarjana Kesihatan Masyarakat iaitu kumpulan pertama yang mengikuti program selama setahun. Dari seramai 207 penerima Ijazah Doktor Falsafah ,48 graduan adalah pelajar dari luar negara dan 159 adalah pelajar dalam negara.

Bagi Ijazah Kepakaran Perubatan dan Pergigian, setakat ini UKM telah berjaya menghasilkan 2254 Sarjana Pakar dalam 14 bidang kepada 165 graduan dan 6 graduan dalam Lanjutan Dermatologi. Bagi Ijazah Sarjana Kepakaran Pergigian (Ortodontik) mempunyai 3 graduan.

Pada tahun ini, buat pertama kalinya UKM mengeluar kumpulan pertama bagi Program Khas Pensiswazahan Guru Besar dengan Ijazah Sarjanamuda Pendidikan dengan Kepujian (Pengurusan Pendidikan) iaitu seramai 73 orang.

UKM juga turut memberi Diploma Siswazah kepada 251 graduan yang terdiri dalam bidang Pentadbiran Kehakiman dan Guaman Islam, Pengajian Terjemahan, Siswazah Ekonomi, Pengurusan Keselamatan Industri, Sains Kepolisan, Psikologi (Kaunseling), Pendidikan, Diatetik dan Lanjutan Kebidanan.

Menurut statistik terkini, seramai 181 graduan dari fakulti mencapai purata nilai gred kumulatif markah 3.70 dan ke atas dengan 46 (25.41%) orang graduan lelaki dan 135 (74.58%) graduan wanita.

Seramai 2 graduan bakal menerima Anugerah Pelajaran Diraja (APD). Pelajar itu adalah Nur Najwa  Abdul Rahman dari Fakulti Pengajian Islam dan Chrissie Lim Hsin dari Fakulti Undang-undang. Pengiktirafan dinilai melalui kecemerlangan dalam akademik, aktif dalam ko-kurikulum, menyumbang bakti kepada masyarakat, mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan sifat keperibadian yang mulia. Mereka bakal menerima pingat emas bernilai RM1000, wang tunai RM5000 dan Sijil Penghargaan. Dua lagi penerima bakal menerima Anugerah Tun Abdul Razak yang disumbangkan oleh Yayasan Tun Razak dan menerima wang tunai RM1000 dan pingat emas bernilai RM1000. Mereka terdiri daripada Salwana Jusoh@ Yusoff dari Fakulti Pendidikan dan Yew Su Mei dari Fakulti Sains dan Teknologi. Manakala Adilah Zaira Abu Bakar yang memperolehi Ijazah Sarjanamuda Kejuruteraan Dengan Kepujian (Cemerlang) dalam boding Kejuruteraan dan Elektronik dari Fakulti Kajuruteraan dan Alam Bina terpilih menerima Anugerah Naib Canselor. Beliau bakal menerima hadiah wang tunai RM2500 dan buku terbitan Penerbitan UKM.

Tahniah! Diucapkan kepada para graduan konvokesyen UKM kali ke-37.