Wednesday, March 2, 2011

KEJAYAAN



Kejayaan bukan suatu kebetulan. Ianya hasil daripada sikap kita dan sikap kita berdasarkan pilihan kita sendiri. Justeru itu, kejayaaan merupakan pilihan dan bukan nasib atau kebetulan. Manusia luar biasa mencari peluang, manakala manusia biasa mencari jaminan hidupan.

Apa yang membuatkan seseorang berjaya? Bagaimanakah kita mengenal pasti kejayaan? Makna kejayaan itu adalah subjektif, setiap individu yang berbeza mempunyai maksud kejayaan yang berbeza. Antara definisi yang memberi gambaran yang baik mengenai kejayaan adalah seperti berikut:
Kejayaan adalah usaha berterusan bagi mencapai matlamat yang wajar.

Berterusan bermaksud kejayaan adalah suatu perjalanan dan bukannya suatu destinasi. Kita tidak pernah berjaya dalam erti kata yang hakiki. Selepas kita berjaya mencapai satu matlamat, kita meneruskan perjalanan ke satu matlamat lain dan begitulah seterusnya.

Mencapai bermaksud ia adalah suatu pengalaman. Kekuatan luaran tidak dapat membuat kita menikmati kejayaan. Kita perlu merasai kejayaan di dalam diri kita. Ia adalah pengalaman dalaman dan bukannya luaran.

Matlamat itu penting kerana ianya memberi panduan dan hala tuju terhadap segala usaha yang kita lakukan.
Wajar adalah merujuk kepada sistem penilaian diri kita. Arah manakah kita tuju? Positif atau negatif? Kewajaran menentukan kualiti pada kejayaan tersebut ianya memberi makna dan kepuasan. Kejayaan tanpa kepuasan tidak membawa makna, ianya adalah kosong!

Kejayaan dan kegembiraan itu beriringan. Kejayaan adalah mendapatkan apa yang kita mahu dan kegembiraan adalah kita benar-benar mahukan apa yang kita dapat!

Kita perlu berusaha untuk kecemerlangan dan bukannya kesempurnaan. Berusaha untuk kecemerlangan adalah kemajuan, kerana tiada satu pun yang tidak boleh diperbaiki atau dilakukan dengan lebih baik lagi.