SESUNGGUHNYA perbuatan mendedahkan keaiban orang lain adalah perkara mazmumah (keji) dan sangat dipandang berat oleh Islam. Islam melarang umatnya mencari keaiban orang lain dan mendedahkannya sesuka hati.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksaan yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Nur, ayat 19)

Atas dasar inilah, maka dikehendaki setiap orang menyimpan rahsia atau menutup keaiban saudaranya. Lebih-lebih lagi jika ia hanya semata-mata prasangka atau tuduhan buruk yang tidak berasas. Hal ini dikhuatiri akan menimbulkan fitnah dan perselisihan yang akibatnya amat berat ditanggung oleh orang itu sendiri dan masyarakat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat kelak.” (Hadis riwayat Muslim)

Menjelaskan mengenai perbuatan mendedahkan keaiban ini, Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin membahagikan manusia kepada dua golongan, pertama ialah orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran; jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedahkan atau diperkatakan.

Jika tetap diperkatakan atau didedahkan juga kemungkaran yang didengari itu, maka ia menjadi umpat yang hukumnya haram dan amat berat dosanya.