Thursday, August 4, 2011

Fadhilat Ramadhan

Fadhilat Ramadhan_Hadith


Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw serta keluarganya.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw telah bersabda :

"Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka".

1. Bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.

2. Ikan-ikan di laut akan beristighfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.

3. Setiap hari Allah s.a.w. akan menghiaskan syurga-Nya dan berkata " Telah hampir masanya hamba-hamba- Ku yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan mereka akan datang kepadamu."

4. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa diperbuat oleh mereka pada bulan yang lain.

5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan. Ditanyakan kepada Rasulullah ' Adakah ia Lailatul-Qadr? '. Baginda menjawab ' Tidak! Namun seorang pekerja akan diberikan ganjarannya apabila dia telah menyelesaikan kerjanya.'


Huraian Ringkas.

Keistimewaan keempat ialah penangkapan syaitan-syaitan yang sangat jahat yang kerananya kekuatan dorongan maksiat akan berkurangan. Disebabkan mencurah-curahnya rahmat dan banyaknya ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadhan, sepatutnya syaitan akan berusaha sedaya upaya dan sekeras mungkin untuk menyesatkan sehingga maksiat juga akan bertambah pada bulan ini tanpa had lagi. Namun demikian di sebalik itu semua apa yang dapat kita saksikan dan dapat dipastikan secara keseluruhannya ialah perlakuan dosa akan sangat berkurangan. Berapa ramai kaki arak yang tidak lagi minum arak semata-mata bulan Ramadhan dan demikian juga dosa-dosa lain. Perlakuannya secara terbuka akan berkurangan. Walaupun demikian, perlakuan-perlakuan dosa masih wujud. Maka tidak peliklah kalau dosa-dosa itu dilakukan kesan dari syaitan-syaitan biasa.

Kesan itu juga adalah hasil daripada sifat yang ada pada nafsu ' amarah bi suk ' yang jahat. Ianya masih tidak dapat dikawal oleh seseorang insan yang terlalu sebati hidupnya bersama nafsu itu. Sabda Rasululullah saw; ( Terjemahan )

' Apabila seseorang itu melakukan satu-satu dosa maka setitik hitam akan melekat dihatinya. Jika dia benar-benar bertaubat maka titik itu akan hilang. Jika tidak, ia akan terus kekal. Apabila dia melakukan dosa untuk kali yang kedua maka titik kedua akan melekat dan seterusnya sehingga seluruh hatinya akan menjadi hitam. Kemudian perbuatan yang baik tidak lagi akan masuk ke dalam hatinya.'


Allah swt telah berfirman : ( Terjemahan )

"Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran" ( Al-Mutaffifin : 14 )

Maka bulan Ramadhan ini sepatutnyalah kita semua mempertingkatkan keimanan kita dan banyak-banyak bertaubat semoga Allah s.w.t. akan menerima amal ibadat kita dan dimasukkan kita ke dalam syurga yang mana seperti hadis ini, iaitu syurga-syurga yang dihiaskan oleh-Nya. Ini adalah kerana Allah swt menerima kita sebagai hamba-hamba- Nya yang mukhlis.