Thursday, August 4, 2011

RISALAH RAMADHAN 1

Dalam risalah Ramadan ini Imam al-Nursi menjelaskan mengenai sembilan isi penting yang berhubung dengan hikmah puasa pada bulan Ramadan al-Mubarak. Tiga hikmah Ramadan dihurai dalam siri pertama ini.

“ Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk dan perbezaan yang benar dengan yang salah”.
( al-Baqarah : 185 )

Hikmah pertama:

Puasa Ramadan merupakan antara rukun terawal yang disebutkan dalam rukun Islam. Rukun ini dikira sebagai syiar Islam yang paling besar.

Kebanyakan hikmah yang lahir daripada puasa Ramadan bertujuan untuk menzahirkan ketuhanan Rububiyyah Allah SWT. Hala tujunya juga ialah untuk kehidupan sosial manusia dan kehidupan peribadi mereka. Ia juga mempunyai tujuan pendidikan, penyucian jiwa dan untuk menyatakan kesyukuran kepada nikmat Allah SWT.

Antara hikmah banyak-banyak yang kita perolehi daripada ibadat puasa, kita akan mengetengahkan satu hikmah yang dapat menyerlahkan ketuhanan Allah SWT, iaitu :

Allah SWT menjadikan muka bumi ini seumpama hidangan yang luas terbentang yang dipenuhi dengan nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Hidangan itu diatur dengan begitu rapi dan indah sekali sehingga tidak dapat dihitung. Melalui hidangan ini, Allah SWT menunjukkan sifat rububiyah-Nya yang sempurna. Dia menunjukkan sifat pemurah dan sifat pengasihani-Nya.

Akan tetapi disebabkan tabir ghaflah(kelalaian) dan tabir sebab musabab yang lain manusia tidak dapat melihat hakikat yang dapat memberi manfaat ini dengan jelas. Kadang-kadang juga manusia lupa… Tetapi dalam bulan Ramadan, orang yang beriman dengan cepatnya akan menjadi seperti satu pasukan tentera yang tersusun, lengkap bersenjata dan sedia bersaing dalam beribadat kepada Allah SWT. Seketika sebelum berbuka, mereka semua berada dalam keadaan yang bersiap sedia untuk menyahut panggilan Yang Maha Berkuasa lagi Azali itu : “Silakan” menjamah hidangan-Nya yang lazat itu.

Merekapun menerima -dalam keadaan begini- rahmat yang agung dan menyeluruh itu; meliputi pengabdian yang luas, teratur dan hebat. Adakah kamu fikir mereka yang tidak turut serta dalam peribadatan yang tinggi dan yang tidak berada dalam kemuliaan seperti ini layak disebut sebagai manusia?

Hikmah kedua:

Ibadat puasa mengandungi beberapa hikmah dan dengan sebab hikmah-hikmah itu, kita mengucapkan rasa syukur kepada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Salah satunya ialah:

Makanan yang dibawa oleh khadam dari dapur Sultan itu ada harganya. Adalah terlalu dungu kalau kita menyangka makanan yang bernilai itu murah dan tidak berharga. Adalah terlalu bodoh kalau kita tidak mengenali orang yang memberikan nikmat tersebut, sedangkan khadam itu sendiri dianugerahkan dengan pelbagai hadiah kerana menyediakan hidangan itu kepada kita. Makanan dan nikmat yang tidak terhitung banyaknya itu juga pasti ada harganya. Sudah pasti Allah SWT meminta bayarannya, iaitu pernyataan syukur kepada-Nya dan mensyukuri nikmat tersebut.

Secara zahir, pemilik kepada makanan yang datang itu hanyalah umpama khadam yang membawa makanan itu. Kita membayar khadam itu harga yang sepatutnya diperoleh oleh mereka. Kita terus menerus memuji dan memuliakan mereka, bahkan kita merendah diri kepada mereka dan berterima kasih lebih daripada yang sepatutnya, sedangkan pemberi nikmat yang hakiki, iaitu Allah SWTlah yang berhak menerima pujian dan ucapan syukur itu, bahkan Dia berhak lebih daripada itu. Oleh itu, kita dapat menyatakan rasa syukur dan keredaan kita kepada Allah dengan mengetahui punca sebenar nikmat tersebut dan dengan menghargai nilai serta merasai keperluan nikmat itu.

Oleh itu, puasa Ramadan merupakan kunci kesyukuran yang tulus lagi benar; kunci pujian yang agung dan umum buat Allah SWT. Ini kerana kebanyakan manusia tidak menyedari nilai nikmat yang banyak itu kerana mereka tidak pernah merasai betapa perit dan azabnya lapar yang sebenar. Hanya orang yang berada dalam kesempitan yang dapat merasai itu semua. Mereka yang sentiasa kekenyangan tidak dapat menilai, misalnya nikmat yang tersembunyi dalam sepotong roti kering, lebih-lebih lagi sekiranya mereka kaya raya.

Hanya orang mukmin yang dapat merasakannya apabila mereka berbuka puasa. Mereka dapat merasakan bahawa ia adalah nikmat Allah yang berharga. Ini dapat dibuktikan melalui daya kecapnya. Oleh itu, orang yang berpuasa -bermula daripada sultan hinggalah kepada yang yang paling miskin- pada bulan Ramadan akan mengucapkan kesyukuran yang amat bermakna kepada Allah SWT. Ini kerana mereka sedar betapa besar dan bernilainya nikmat yang agung itu.

Seseorang manusia yang menahan diri daripada menjamah makanan pada siang hari akan menyedari bahawa ia adalah nikmat yang hakiki. Lantaran itu, dia akan berbisik kepada dirinya sendiri: “ Nikmat itu bukan milikku. Aku tidak bebas memakannya. Ia adalah milik orang lain. Ia adalah nikmat dan kurniaan-Nya, yang dikurniakan kepadaku. Jadi, sekarang aku sedang menunggu arahan-Nya”. Dengan ini, dia telah menunaikan kesyukuran yang amat bermakna terhadap nikmat tersebut.

Dengan gambaran itu, puasa telah menjadi kunci kesyukuran dari pelbagai sudut; kesyukuran yang merupakan tugas hakiki setiap insan.

Hikmah ketiga:

Salah satu hikmah yang mengarah kepada kehidupan sosial manusia ialah:

Manusia dijadikan dengan bentuk kehidupan yang berbeza. Berdasarkan perbezaan ini, Allah menyeru orang kaya agar menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara mereka yang miskin. Orang kaya sudah tentu tidak dapat menghayati dengan sepenuhnya keadaan kemiskinan yang mencetuskan perasaan kasihan belas itu. Mereka juga tidak mampu merasai kelaparan yang dihadapi oleh orang miskin melainkan melalui rasa lapar yang lahir daripada berpuasa. Jika tidak kerana puasa, sudah pasti ramai orang kaya sentiasa mengikut hawa nafsu mereka. Sudah pasti mereka tidak dapat merasai kelaparan dan kemiskinan yang memeritkan itu. Sudah pasti mereka tidak sedar betapa perlunya orang miskin kepada belas ihsan orang lain.

Oleh itu, sifat kasihan belas terhadap sesama manusia merupakan salah satu asas yang mencetuskan rasa kesyukuran yang sebenar, kerana setiap orang mungkin akan berjumpa dengan orang yang lebih miskin daripadanya. Jadi, dia berasa bertanggungjawab untuk mengasihani orang tersebut.

Jika manusia tidak dipaksa untuk merasai sendiri betapa peritnya berlapar, sudah pasti tidak ada seorangpun yang akan merasa kasihan terhadap orang lain, yang akan mendorongnya supaya membantu dan menolong orang itu. Perkara ini boleh dilakukan kerana adanya ikatan belas kasihan terhadap makhluk sejenisnya. Jika seseorang itu membantu orang miskin yang kelaparan itu tanpa merasai sendiri kelaparan itu, sudah pasti dia tidak akan dapat melakukannya dnegan sempurna kerana jiwanya tidak dapat merasakan keadaan tersebut dengan sebenar-benarnya.