Monday, July 21, 2008

Lebih 400 juta pesakit asma menjelang 2025


asmaASMA atau lelah adalah penyakit saluran udara kronik. Tanda-tanda atau simptom penyakit asma adalah seperti sesak nafas, nafas berbunyi, ketat dada dan batuk.

Bukan semua pesakit asma yang akan mengalami semua simptom yang disebutkan di atas. Hampir 20 peratus pesakit hanya mengalami batuk yang berlanjutan.

Simptom asma adalah disebabkan oleh penyempitan dan inflamasi saluran udara yang boleh berlaku akibat alahan kepada persekitaran, salah makan, ubat-ubatan dan tekanan apabila pesakit terdedah kepada punca-punca yang disenaraikan tadi.

Serangan asma berlaku apabila saluran udara menjadi sempit akibat pengecutan otot di sekeliling saluran udara serta tersumbat kerana inflamasi dan rembesan cecair yang banyak dari saluran udara yang membengkak tadi.

Ini akan menyebabkan serangan asma akan berterusan dari beberapa jam sehinggalah kadangkala berbulan-bulan.

Simptom-simptom ini juga mungkin lebih teruk pada waktu subuh dan malam.

Walaupun asma tidak boleh sembuh, ia boleh dikawal dengan ubat-ubatan yang ada pada masa sekarang.

Setiap pesakit boleh menjalankan aktiviti seperti biasa seperti orang lain jika mereka mematuhi arahan doktor dengan baik.

l Punca asma

Punca sebenar asma masih belum diketahui. Kaitan faktor genetik atau keturunan merupakan salah satu sebab penting dan ini dapat dilihat di mana di kalangan keluarga pesakit asma biasanya terdapat ahli keluarga lain yang menghidap asma, resdung (rhinitis) atau dermatitis (atopy skin disease).

Walaupun punca sebenar asma tidak diketahui, namun punca serangan asma lebih diketahui seperti inflamasi dan saluran udara pesakit asma yang menjadi sempit disebabkan oleh beberapa faktor.

Antara faktor yang menyebabkan serangan asma adalah pesakit menyedut kutu debu, debunga, bulu kucing atau anjing, pencemaran udara, asap rokok, kurang senaman dan kesan beberapa ubat-ubatan.

Adalah penting supaya pesakit asma mengelak dari terdedah kepada semua faktor tersebut. Pesakit juga perlu mengetahui jenis alahan (alergi) masing-masing kerana ia berbeza mengikut individu.

l Beban asma

Dijangka sebanyak 300 juta penduduk dunia kini menghidap asma. Asma selalunya bermula dari zaman kanak-kanak dan akan terus menyerang pesakit untuk jangka masa yang panjang, mungkin sepanjang hayat.

Penyakit kronik ini akan mengakibatkan pelajar tidak dapat menghadiri sekolah atau pekerja terpaksa bercuti sekiranya asma pesakit tidak dikawal dengan baik.

Beberapa kajian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa mendapati hampir 50 peratus pesakit asma mengalami beban asma kerana tidak dapat menjalankan tugas-tugas harian, bersenam, bersukan dan bersosial.

Di banyak negara yang kurang maju, penyakit ini kurang dikesan dan mengakibatkan banyak kematian dan kemasukan ke hospital.

Terdapat banyak negara yang tidak mampu memberi rawatan asma yang berkesan supaya ia dikawal dengan baik yang kemudiannya mengakibatkan beban terhadap negara.

Di Malaysia, satu kajian menunjukkan hampir 10 peratus pesakit asma dimasukkan ke wad akibat serangan akut asma dalam masa setahun dan 40 peratus lagi menerima rawatan kecemasan di klinik-klinik swasta dan jabatan kecemasan hospital.

Laporan, Global Burden of Asthma Report juga meramalkan bahawa 100 juta lagi penduduk dunia akan dikesan menghidap penyakit ini sebelum tahun 2025.

l Diagnosis asma

Simptom-simptom, pemeriksaan fizikal dan ujian fungsi paru-paru adalah penting untuk mengesan penyakit asma.

Ujian fungsi paru-paru yang terdiri daripada penggunaan alat spirometri dan “peak flow meter” adalah sangat penting untuk mengesahkan penyakit ini dan juga melihat tahap teruknya penyakit asma.

Di Malaysia, kebanyakan pesakit tidak menjalani ujian-ujian ini semasa lawatan susulan dan juga untuk diagnosis.

Ujian-ujian ini amat penting untuk melihat tahap asma setiap pesakit bagi menentukan kaedah rawatan bersesuaian dan paling berkesan.

l Rawatan asma

Inflamasi saluran udara dan pengecutan otot saluran udara yang merupakan dua mekanisma utama serangan asma mengakibatkan pesakit sesak nafas, batuk dan nafas berbunyi. Oleh itu, adalah penting untuk mengurangkan atau memulihkan keadaan ini kepada normal.

Pada masa ini, terdapat banyak ubat untuk mengubati penyakit asma dan kebanyakannya adalah secara sedutan.

Ubat sedutan adalah cara yang sangat berkesan kerana ubat yang diberi secara sedutan hanya memerlukan dos yang sangat rendah dan ia akan masuk terus ke dalam saluran udara dan bertindak dengan cepat tanpa memberikan kesan sampingan sistemik.

Ubat rawatan asma boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu ubat sedutan penahan (reliever) dan ubat sedutan pencegah (preventor).

Kedua kumpulan ubat ini biasanya dijual di dalam pelbagai warna tetapi amat penting bagi pesakit mengenal kedua-dua kumpulan ini.

Ubat penahan biasanya mengandungi ubat yang bertindak bagi mengembangkan saluran udara ketika pesakit mengalami serangan akut manakala ubat untuk mencegah (preventor) mengandungi dos steroid yang agak rendah dan berfungsi sebagai anti-inflamasi bagi mencegah serangan akut asma.

Kandungan steroid yang rendah dalam sedutan ini tidak akan memberi kesan sampingan yang teruk kepada pesakit sekiranya digunakan mengikut arahan doktor berbanding ubat steroid yang diambil secara oral.

Banyak kajian telah membuktikan bahawa ubat steroid boleh mengurangkan serangan akut dan juga kematian akibat asma.

Ramai orang yang takut menggunakan steroid disebabkan oleh kesan sampingannya tetapi anggapan ini adalah kurang tepat kerana hanya dos yang rendah terdapat di dalam ubat sedutan.

Apabila pesakit tidak menggunakan ubat sedutan steroid seperti yang diarahkan, ini akan mengakibatkan kurangnya kawalan terhadap penyakit asma.

Ini berbeza dengan ubat menahan (reliever). Jika pesakit kerap menggunakan ubat menahan (reliever), terdapat banyak kesan sampingan dan asma juga tidak dapat dikawal dengan baik.

Kajian membuktikan lebih banyak kematian dikesan di kalangan pesakit sekiranya ubat penahan (reliever) digunakan lebih banyak dari ubat pencegah (preventor).

Jika seseorang pesakit asma mengalami serangan asma lebih dari dua kali seminggu, pesakit perlu menggunakan kedua-dua jenis ubat sedutan tersebut.

Yang penting adalah penggunaan ubat sedutan pencegah (preventor) setiap hari, walaupun jika tiada tanda-tanda serangan asma.

Dos dan kekerapan pengambilan ubat mungkin perlu ditingkatkan bergantung kepada kawalan asma pesakit.

Kemajuan sains dan teknologi terkini juga telah membawa kepada kombinasi ubat penahan (reliever) dan pencegah (preventor) dalam satu alat sedutan.

Di samping itu, terdapat beberapa jenis ubat sedutan dan ubatan biji baru yang sangat berkesan untuk mengawal serangan asma.

Selain itu, cara pemberian sedutan (inhaler device) juga telah dipelbagaikan bagi memudahkan pesakit dari setiap peringkat umur menggunakannya.

l Hari Asma Sedunia 2008

Setiap tahun, Hari Asma Sedunia diraikan pada hari Selasa pertama setiap bulan Mei. Pada tahun ini, ia jatuh pada 6 Mei 2008.

Tema pada tahun ini adalah sama seperti tahun lepas iaitu, “Anda boleh mengawal asma anda” (You can control your asthma).

Kawalan asma boleh dicapai oleh hampir semua pesakit dengan rawatan yang tepat. Untuk itu, adalah penting supaya empat strategi di bawah diikuti:

l Perkongsian antara pesakit dan doktor (Develop patient/ doctor partnership )

l Mengetahui dan mengelak alahan atau faktor risiko serangan asma akut

l Merawat dan memantau asma

l Merawat serangan akut asma dengan segera

Dengan adanya empat strategi ini dan ubat-ubatan yang berkesan, setiap pesakit boleh mengawal asma mereka dengan baik.

Tema tahun ini juga memastikan setiap golongan, terdiri daripada pesakit, doktor, orang awam dan kerajaan memainkan peranan masing-masing supaya kawalan penyakit asma terus ditingkatkan.