Thursday, October 1, 2009

GEGARAN GEGARAN GEGARAN

KUALA LUMPUR 1 Okt — Gegaran susulan dijangka akan berterusan untuk beberapa hari ekoran gempa bumi berskala 7.6 Richter yang berlaku di Padang, Sumatera barat, semalam.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang kerana kekuatan gempa bumi susulan yang berlaku hari ini dan pada beberapa hari akan datang dijangkakan semakin lemah, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

JMM berkata sejak semalam, lapan gegaran susulan direkodkan berskala 4.5 hingga 6.8 Richter.

Satu daripadanya sekuat 6.8 skala Richter turut dirasai di Semenanjung pada pukul 9.53 pagi hari ini iaitu di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“JMM akan sentiasa memantau dan akan memaklumkan sebarang perkembangan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku serta mengeluarkan amaran sekiranya berlaku ancaman tsunami kepada Malaysia,” katanya.

JMM berkata gempa bumi yang menyebabkan ramai terkorban dan kemusnahan yang teruk di Padang telah menyebabkan tsunami kecil setinggi 0.27m sekitar Padang dan tidak mengancam Malaysia.

Ramai lari keluar dari bangunan tinggi di beberapa tempat di pantai barat Semenanjung apabila gegaran turut dirasai petang semalam.

— BERNAMA