Thursday, October 8, 2009

Manusia modal pertumbuhan ekonomi


Tajuk Buku: Pembangunan dan

Pengurusan: Modal Insan Negara

Penyunting: Dr. Abd. Hair Awang,

Prof. Dr. Rahmah Ismail dan

Dr. Zafir Mohd. Makhbul

Penerbit: Fakulti Ekonomi

dan Perniagaan, UKM

ISBN: 978-983-3198-39-9

Pengulas: SAADAH JAFFAR

MODAL insan merupakan sesuatu yang dimiliki manusia yang menjadikan ia lebih berkualiti.

Pelaburan jangka panjang secara makro dalam usaha untuk meningkatkan modal insan yang berkualiti memerlukan program seperti pendidikan, latihan, penghijrahan dan kesihatan. Ia merupakan strategi yang dilakukan untuk mencapai matlamat perancangan tenaga manusia yang telah ditetapkan.

Melalui pembangunan sumber manusia, tahap produktiviti setiap tenaga pekerja dapat dipertingkatkan. Ini dapat menyediakan tenaga manusia yang cukup mengikut kemahiran yang diperlukan dan seterusnya mencapai kecekapan penggunaan sumber manusia dalam sesebuah ekonomi.

Kepentingan meningkatkan modal insan bukan sahaja perlu ditekankan pada peringkat makro atau nasional, malah ia perlu ditekankan pada peringkat organisasi.

Pembangunan dan pengurusan sumber manusia yang cekap dan berkesan akan menghasilkan modal insan yang berkualiti, produktif dan seterusnya akan meminimumkan masalah yang berkaitan dengan sumber manusia seperti ketaksepadanan, produktiviti rendah, ketidakhadiran, ketidakpuasan kerja, pusing ganti pekerja dan kecuaian di tempat kerja.

Pengurusan sumber manusia sebenarnya merupakan satu sistem, falsafah, dasar dan amalan yang mempengaruhi individu yang bekerja dalam organisasi. Proses itu meliputi aktiviti yang berkaitan dengan pekerja, latihan dan pembangunan, penilaian prestasi, pentadbiran pampasan, keselamatan dan kesihatan serta perhubungan perusahaan.

Kesemua fungsi pengurusan sumber manusia tersebut bertujuan untuk meningkatkan sumbangan pekerja ke arah pencapaian matlamat organisasi. Fungsi pengurusan sumber manusia perlu diuruskan sebaik-baiknya bagi memastikan kuantiti dan kualiti sumber manusia organisasi dapat menyokong segala misi, matlamat dan strategi yang ditetapkan oleh majikan.

Sebarang kelemahan yang terdapat pada pengurusan sumber manusia akan menjejaskan keseluruhan operasi organisasi. Oleh itu, pada peringkat organisasi, pengurus sumber manusia memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan sumber manusia organisasi berjalan lancar dan berdaya saing.

Menurut penyunting buku ini, dalam menghadapi proses pembangunan yang sentiasa berubah-ubah, dinamisme dalam kemahiran manusia adalah diperlukan. Contohnya daripada yang berpendidikan rendah dan kurang mahir kepada yang berpendidikan tinggi dan mampu menguasai pelbagai kemahiran.

Dalam era ini, tenaga kerja yang diperlukan adalah yang efisien, boleh mengaplikasikan pengetahuan dengan berkesan, inovatif, celik komputer dan boleh mengadaptasikan diri mereka kepada sebarang bentuk perubahan dan cabaran.

Pencapaian ini menuntut kepada rombakan yang sistematik dalam orientasi pembelajaran, penekanan pendidikan dan latihan dan kepekaan terhadap perubahan dalam merangka strategi pembangunan dan pengurusan sumber manusia yang berkesan bagi meningkatkan stok modal insan negara.

Penyunting buku ini beranggapan bahawa pembangunan sumber manusia adalah amat penting kerana manusia dirujuk sebagai modal yang dapat menggerakkan pertumbuhan ekonomi. Pembangunan sumber manusia juga boleh ditakrifkan sebagai penyepaduan pembangunan individu, pembangunan kerjaya dan pembangunan organisasi bagi mencapai produktiviti, peluang dan pengisian maksimum.

Pada dasarnya keseluruhan modal insan negara dibangunkan bukan sahaja dalam aspek kognitif malah aspek bukan kognitif supaya menjadi warganegara yang produktif, berfikiran strategik dan sentiasa relevan dengan peredaran masa dan perubahan persekitaran khususnya pada abad ke-21 ini.

Kejayaan dalam membentuk masyarakat maju menjelang 2020 sangat bergantung kepada keberkesanan usaha pembangunan dan pengurusan modal insan negara. Pembangunan sumber manusia terutamanya pendidikan dan latihan adalah penting kepada perkembangan ekonomi negara iaitu melalui peningkatan dalam produktiviti buruh, penyesuaian kepada kemahiran buruh dan akhirnya menyusun semula masyarakat dalam aspek guna tenaga.

Dalam erti kata lain, penyunting buku ini menyatakan bahawa sektor perkhidmatan merupakan sektor yang memerlukan tenaga manusia yang ramai pada masa hadapan seperti pekerja pengurusan, teknikal, penyeliaan dan pekerja am.

Untuk memenuhi keperluan tersebut, aktiviti perancangan dan pembangunan sumber manusia harus dilaksanakan dengan baik sebagai asas kepada pencapaian matlamat tersebut. Dalam hal ini, kerajaan dan pihak swasta harus berganding bahu dalam menjalani aktiviti pembangunan sumber manusia seperti menubuhkan lebih banyak institusi pendidikan dan latihan, menambah lagi kursus-kursus yang bersesuaian dengan keperluan pasaran buruh serta meningkatkan bilangan dan tingkat kemahiran tenaga pengajar.

Dengan ini negara kita akan dapat melahirkan lebih banyak sumber manusia yang berkualiti dan seterusnya meningkatkan produktiviti kerja, output negara, pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.

Buku setebal 284 halaman ini amat sesuai untuk dijadikan panduan kepada penyelidik, pembuat dan pelaksana dasar, pengurus organisasi, pelajar universiti dan pembaca umum untuk mengetahui kekukuhan pembangunan dan pengurusan modal insan negara ini.