Thursday, April 8, 2010

SABAR

Hakikat Sabar

Sabar ialah tonggak kebahagiaan seorang hamba. Dengan kesabaran itulah seorang hamba akan terjaga dari kemaksiatan, konsisten menjalankan ketaatan dan tabah dalam menghadapi berbagai dugaan. Tambahan lagi, kita sebagai seorang yang bergelar pelajar, student, pengaji, pencari ilmu, dan lain-lain istilah lagi, tapi hanya membawa maksud yang satu, iaitu mencari redha Allah dalam apa jua perkara yang kita lakukan. Ibnu Qayyim rahimahullah mengatakan, “Kedudukan sabar dalam iman laksana kepala sudah terpotong maka tidak ada kehidupan di dalam tubuh”.(al Fawa’id, hal 95).

Sheikh Muhammad bin Shalih al ‘Uthsaimin rahimahullah berkata, “Sabar adalah meneguhkan diri dalam menjalankan ketaatan kepada Allah, menahannya dari perbuatan maksiat kepada Allah, serta menjaganya dari perasaan dan sikap marah dalam menghadapi takdir Allah…” (syarh Tsalatsatul Ushul, hal 24). Lihatlah betapa besarnya ganjaran dan kebaikan sikap sabar dalam kehidupan kita. Kerja khusus, latihan yang diberi oleh pensyarah yang diberi pada hari ini, nak kumpul esok, adalah salah satu antara tekanan yang perlu dihadapi oleh setiap pelajar. Namun, itulah dikatakan lumrah mencari ilmu, pahit mencarinya, manis hasilnya.

sabar1

Hikmah dan Musibah

Dari Anas, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila Allah menginginkan kebaikan bagi hamba-Nya, maka Allah segerakan hukuman atas dosanya di dunia. Dan apabila Allah menghendaki keburukan pada hamba-Nya, maka Allah tahan hukuman atas dosanya itu sampai dibayarkan di saat hari kiamat” (Riwayat al Tirmidhi). Dalam menimba ilmu, pelbagai musibah akan berlaku, ada salah seorang sahabat ku, sebelum tamatnya pengajian semester ini, laptopnya telah hilang, segala kerja-kerja berkaitan pelajaran, termasuk buku-buku yang dipinjam dari perpustakaan, hilang. Alangkah sedihnya jika kita berada di tempatnya, kan? Namun itulah dipanggil ujian Allah. Allah tahu kemampuan kita menanggung bebanan itu. Sebab itulah, Allah mengirimkan ujian ini pada hamba-Nya, tanda Allah sayang pada kita. Dan ingatlah, setiap musibah yang berlaku, pasti ada hikmahnya.

Musibah akan melahirkan rasa kembali taat dan merendahkan diri di hadapan Allah serta memalingkan kebergantungan hatinya dari sesama makhluk, dan berbagai maslahah lain yang muncul kerananya. Musibah itu sendiri, dijadikan Allah sebagai sebab penghapus dosa dan kesalahan. Setiap hari kita sering terdedah dengan berbagai kemaksiatan, sama ada yang sedar mahupun tidak. Hati kita sering lalai dari mengingati-Nya. Maka, adakah ini suatu tanda hati kita tidak bersih? Adakah hati kita telah dicemari oleh aspek-aspek mazmumah, yang sentiasa mengekori kita, seperti cerita Pendekar Bujang Lapok, kita berjalan, dia pun berjalan, kita berhenti, dia pun berhenti, kita lari, dia terus berlari mengekori. Dengan sebab itulah, Allah mengirimkan dugaan-Nya pada kita, yang pada hakikatnya sebagai rahmat dan nikmat kepada keseluruhan makhluk. Sheikhul Islam mengatakan, “Datangnya musibah itu adalah nikmat. Kerana ia menjadi sebab dihapuskannya dosa-dosa. Ia juga menuntut kesabaran sehingga orang yang tertimpanya justeru diberikan pahala.”

Sabar Tangga Kejayaan

Kejayaan yang sentiasa didambakan setiap insan, adalah terlalu berat untuk digapai, jika sifat sabar tidak dapat dikawal dengan baik. Allah telah berfirman, “Wahai orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap (di batasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu berjaya”(ali Imran: 200). Jelaslah di sini, sabar merupakan kunci kejayaan yang utama. Sifat sabar ini, jika dapat dipimpin dengan baik, tidak mustahil menjadi kuasa dorong yang berkesan memacu seseorang ke arah kejayaan. Kejayaan seorang pelajar, bukan sahaja menjadikannya berjaya dari aspek akademik, bahkan diukur dari sejauh mana kemampuannya memimpin diri sendiri. Kebanyakkan pelajar yang berjaya di bidang akademik, namun tidak mampu mengolah diri sendiri supaya sesuai dengan keadaan semasa, tidak mampu berdikari, bahkan adakalanya, sehingga menyusahkan orang lain. Dengan ini, kesabaran juga adalah pemacu utama kepada pelajar dan pemimpin untuk mencapai kejayaan seperti mana firman Allah s.w.t,“Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang member petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka bersabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami”. (As Sajdah: 24)

sabar

Carilah Sabar

Imam al Bukhari dan Muslim meriwayatkan Nabi Muhammad telah bersabda,Barangsiapa yang berusaha untuk bersabar, maka Allah akan menjadikannya bersabar. Sesungguhnya tidak ada sesuatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada sikap sabar”.

*p/s: Peringatan buat diriku…