KEHIDUPAN bersosial lazimnya akan membawa kepada perbezaan pendapat dan perselisihan faham.
Ini tidak terkecuali alam pekerjaan yang mana manusia sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk masalah di tempat kerja yang boleh menjejaskan kualiti hidup.
Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) Profesor Dr. Mahmood Nazar Mohamed berkata, masalah di tempat kerja biasanya terbahagi kepada dua kategori iaitu yang datang dari luar dan masalah yang timbul dari dalam diri individu berkenaan.
Masalah dari luar menurut beliau, datangnya dari persekitaran kerja, yang antara lain berkaitan dengan suasana di tempat kerja, budaya dan norma organisasi yang dirasakan kurang sesuai dengan individu terbabit.
Tambahnya, permintaan supaya pekerja menunjukkan prestasi yang tinggi, beban kerja terlalu banyak, kerja yang terlalu sukar juga seringkali menyebabkan pekerja mudah merasa tertekan.
“Di Malaysia, penggunaan teknologi di tempat kerja juga menyebabkan ramai pekerja menghadapi tekanan. Komputer, perisian baru, rangkaian Internet yang canggih boleh memberikan tekanan kepada pekerja jika mereka kurang mampu untuk mempelajarinya dalam masa yang ditetapkan,” jelasnya.
Beliau menyatakan demikian dalam kertas kerjanya bertajuk Menguruskan Masalah Berteraskan Psikologi Di Tempat Kerja: Beberapa Trend Masa Kini pada Seminar Pengurusan: Mengurus Masalah Berkaitan Psikologi Di Tempat Kerja, yang berlangsung di Langkawi baru-baru ini.
Di samping itu, Mahmood Nazar berkata, budaya di tempat kerja seperti tingkah laku, cara berkomunikasi, hiraki dalaman, hubungan sesama pekerja juga antara perkara yang perlu dipelajari oleh pekerja dengan cepat bagi mengelakkan tekanan.
Namun menurutnya, sumber tekanan yang lazim berlaku ialah masalah peribadi antara pekerja dan masalah keluarga, yang mana ini akan menimbulkan masalah berikutan suasana pejabat yang menjadi tidak tenang.
Beliau berkata, lazimnya individu yang menghadapi tekanan akan menunjukkan pelbagai simptom termasuk kurang daya ingatan, tidak hadir kerja tanpa sebab, dan kemurungan.
Selain itu menurutnya, mereka juga cenderung menggunakan ubat-ubatan berlebihan, menunjukkan tahap kemarahan dan kekecewaan yang tinggi, masalah penghadaman, pernafasan, otot dan saraf.
“Oleh apa juga masalah yang dialami, majikan perlu mengenali serta mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan masalah itu menjadi lebih buruk dan memberikan kesan negatif terhadap syarikat atau organisasi berkenaan,” ujarnya.
Mengenai cara penyelesaiannya, menurut Dr. Mahmood Nazar, semua masalah di tempat kerja harus diurus secara berhemah sama ada dengan mengenakan peraturan yang berstruktur ataupun dengan pendekatan yang lebih berbentuk kemanusiaan seperti nasihat, mentor dan kaunseling.
“Bagi masalah yang berunsur fizikal hal ini mudah diurus seandainya pihak pengurusan membuka mata, meneliti masalah-masalah ini dan memperbetulkannya namun masalah yang lebih kompleks ialah yang berkaitan dengan manusia,” katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa panduan yang boleh diikuti oleh majikan bagi mengurus tenaga kerja mereka yang menghadapi masalah.
Antaranya menurut beliau, dengan menghormati dan menghargai pekerja serta segala sumbangan mereka.
Jika tidak dihargai jelasnya, pekerja mungkin bertindak dengan cara yang boleh merugikan organisasi seperti sabotaj, membazirkan masa, membazir bahan bekalan, mempengaruhi pekerja lain supaya tidak bekerja dengan baik dan sebagainya.
“Selain itu, majikan juga perlu bersedia mendengar keluhan dan masalah pekerja, agar mereka merasakan mempunyai tempat untuk mengadu,” ujarnya.
“Menurut beliau lagi, Persatuan Psikologi Amerika Syarikat (APA) pernah melakukan tinjauan mengenai perkara ini dan mendapati organisasi yang mendengar keluhan pekerja kurang berhadapan dengan isu ketidakpuasan pekerja.
Beliau menambah, pekerja juga perlu diberi peluang untuk bercakap dan menyuarakan pandangan mereka kerana ini dapat membantu sesebuah organisasi menyelesaikan banyak masalah pekerja.
“Tidak ada ruginya memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan pendapat dan menulis cadangan untuk perhatian majikan, kerana pada akhirnya nanti kedua-dua pihak mendapat faedahnya,” ujarnya.
Dipetik dari Utusan Malaysia Online