Saturday, April 3, 2010

Hari Pahlawan tidak lagi di Tugu Negara


Baru sahaja menonton Buletin Utama TV3 yang mengkhabarkan pihak kerajaan memutuskan untuk memindahkan lokasi sambutan Hari Pahlawan daripada di Tugu Negara ke Putrajaya bagi mematuhi keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Kita sebagai seorang Islam sudah tentu gembira dengan perkembangan ini. Akhirnya, sambutan Hari Pahlawan 2010 tidak lagi diadakan di Tugu Negara. Syukur Alhamdulillah di atas kesedaran dan hidayah yang dikurniakan-Nya ke atas para pemimpin kita.

Lokasi Hari Pahlawan Berpindah Ke Putrajaya - Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Kerajaan pada Rabu memutuskan lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama antara Kementerian Pertahanan dan Jabatan Perdana Menteri pada Rabu.

"Pada tahun ini kita akan adakan sambutan di satu tempat yang tertakluk kepada Perdana Menteri tetapi dataran tetap akan dibuat atas persetujuan bersama antara Kementerian Pertahanan, Polis Diraja Malaysia dan Jakim.

"Elemen-elemen perayaan kali ini akan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim dan disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Zahid berkata perkara itu turut dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malah beliau meminta permbinaan dataran yang berkeluasan dua hingga tiga ekar itu disegerakan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata pihaknya akan menimbang cadangan bagi menjadikan dataran itu sebagai tempat perhimpunan yang menepati kehendak Majlis Fatwa Kebangsaan dan pada masa yang sama dapat memberi gambaran kepada masyarakat tentang pengorbanan dan jasa pahlawan-pahlawan negara.

Dalam pada itu, menerusi portal rasmi Majlis Fatwa Kebangsaan, http://e-fatwa.intranetportal.my/fatwa-kebangsaan/istiadat-meletakkan-kalungan-bunga-di-tugu-negara-sempena-hari-pahlawan, telah diwartakan dua fatwa mengenai Hari Pahlawan iaitu amalan seperti tiupan 'Last Post', bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan 'Rouse' yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

Selain itu bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.
-BERNAMA
http://bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=486908