Monday, April 5, 2010

Jom Bercuti - pulau pangkor



Pulau Pangkor terletak di negeri Perak , di perairan Selat Melaka . Luasnya cuma 22oo hektar dan penduduknya berjumlah 25ooo orang . Pulau Pangkor merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di Malaysia . Dari Kuala Lumpur anda boleh memandu melalui lebuhraya PLUS ke Ipoh dan seterusnya ke Lumut. Terdapat perkhidmatan bas ekspres KL-Lumut-KL sepanjang hari. Dari Lumut anda akan menaiki feri ke Jeti Pangkor.


Jika anda berkunjung ke Pulau Pangkor, anda akan berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana hasil laut diproses dan anda boleh membeli barang-barang tersebut dengan harga yang istimewa. Terdapat pelbagai jenis penginapan disediakan di dua pantai perkelahan utama Pulau Pangkor iaitu Pantai Pasir Bogak dan Pantai Teluk Nipah. Pasir Bogak menawarkan bilik, hotel, apartment dan chalet manakala Teluk Nipah menawarkan beratus-ratus chalet yang bercirikan seni bina Melayu eksotik. Pakej-pakej yang ditawarkan termasuk pakej percutian (individu, pasangan, keluarga & kumpulan).



Terdapat pelbagai kemudahan di pulau ini supaya percutian anda tidak terganggu. Seperti bank-bank, pejabat pos, hospital, restaurant makanan laut, internet & banyak lagi kemudahan-kemudahan yang lain. Untuk memudahkan anda bergerak kemana-mana anda boleh menaiki teksi (van merah jambu) atau menyewa kereta & motosikal. Pantai Pasir Bogak, Pangkor Island / Pulau Pangkor menyediakan penginapan hotel dan apartmen yang lengkap dengan kemudahan seperti restoran, dan kolam renang. Pantai ini merupakan pantai perkelahan yang amat popular di kalangan para pelancong dalam negeri. Pantainya panjang dan dilindungi pepohon rendang, amat sesuai melakukan aktiviti sukan pantai atau hanya untuk bersantai dan mandi laut.