Kekayaan yang diperolehi tidak selalunya dapat diukur dengan wang dan harta benda. Kekayaan boleh juga datang dari segi persahabatan yang lama dan berpanjangan, perhubungan kekeluargaan yang harmoni, simpati dan kesefahaman diantara rakan-rakan perniagaan, kesihatan yang baik dan keharmonian dalaman yang membawa kepada kedamaian dari segi spiritual.
Hari ini saya nak tambah lagi kekayaan sedia ada anda dengan satu lagi perkara yang membuatkan anda lebih kaya. Kekayaan ini adalah harta yang anda boleh perolehi tanpa berusaha keras dan mengeluarkan sebarang kos pun untuk memilikinya. Sebelum itu, saya nak kongsi satu sajak yang saya ambil dari buku “IBU KOOL BAPA HEBAT” oleh Jamilah Samian yang bertajuk HARTA ABADI.
Ku punya harta yang lebih berharga daripada emas
Lebih berharga daripada apa yang ada di dunia ini
Ia tidak boleh dicari walau di lautan dalam
Atau di gunung yang melangit tinggi
Kerana ia tersembunyi di dalam diri
Ia tidak boleh dijual beli
Rahsianya ada dalam diri sendiri
Iaitu KASIH SAYANG untuk semua di dunia ini
Itulah pencetus semangat kehidupan!!
Hidup ini ada matlamat
Satu anugerah Tuhan yang penuh bermakna
Itulah harta yang boleh diberi
Dan harta paling berharga yang boleh diperolehi!
Salam ceria dan kasih sayang