Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak berkumpul di dalam hati seorang manusia antara iman dan dengki”
Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi
Huraian:
1. Hasad dengki itu adalah seumpama api yang akan memakan segala kebaikan yang dilakukan oleh seseorang seperti api yang membakar kayu.
2. Adanya perasaan dengki menunjukkan iman seseorang itu belum sempurna malah dengki merupakan sifat yang diwarisi daripada syaitan. Kerana dengkilah maka syaitan menggoda Adam a.s hingga terkeluar daripada syurga dan kerana dengki juga maka terjadinya pembunuhan di antara Qabil dan Habil.
3. Seorang pujangga Arab pernah berkata: “Orang hasad tidak akan senang hidupnya dan orang bakhil tidak akan berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan orang yang selalu jemu dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang tidak berakhlak.
4. Dengki yang diharuskan dalam Islam hanyalah dengki yang menjadikan manusia berebut-rebut melakukan kebaikan seperti berlumba-lumba menuntut ilmu atau berlumba-lumba melakukan ibadat dan yang seumpamanya.
MUQADDIMAH
Di dalam surah Al-Falaq ia melengkapkan 4 perkara bg memohon perlindungan iaitu;
a) Dari kejahatan semua makhluq
b) Dari kejahatan yang berlaku apabila gelapnya hari (malam)
c) Dari kejahatan tukang sihir yang melakukan kerja sihirnya
d) Dari kejahatan orang yang berhasad dengki, sekiranya dia berdengki.
Kesemua 4 sifat dalam surah Al-Falaq ini (untuk tafsiran lanjut, sila rujuk tafsir surah Al-Falaq) adalah perlindungan daripada pekara-perkara yang memudharatkan dan menyakiti (luaran fizikal).
Manakala dalam surah An-Naas pula ia adalah permohonan seorang hamba kepada Tuhannya supaya dilindung dari bahaya yang lebih merbahaya dari 4 perkara tadi, iaitu berkaitan dengan hati. Ini kerana sekira rosaknya hati maka rosaklah segala-galanya. Dan jika baiknya hati maka baiklah segala-galanya. Oleh itu surah An-Naas ini adalah khusus untuk perlindungan daripada kejahatan-kejahatan yg wujud dalam hati.
TAFSIR
1) Allah s.w.t memerintahkan Rasulnya s.a.w dan umat baginda (kita semua) supaya memohon diperkuatkan dan dilindungi, hanya kepada Tuhan sekalian manusia iaitu Pencipta manusia dan Raja bagi segala raja (Allah s.w.t ).
2) Dialah Tuhan, Raja, dan Hakim kepada manusia.
3) Dialah sembahan semua manusia yang satu-satunya dan tiada yang setanding dengannya yang layak disembah.
4) Minta dilindungi daripada kejahatan pembisik dan penghasut (syaitan) yang tersembunyi dan melalui hati manusia ketika mengingati Allah.
5) yang sentiasa membisikan hasutan didalam diri manusia, dan ia adalah suara yang sangat halus yang timbul dan tenggelam dan tidak dapat didengar ketika ia melemparkan hasutan kedalam dada manusia.
6) yang terdiri dari syaitan jin dan syaitan manusia.
Di dalam surah ini Allah memerintahkan manusia supaya memohon perlindungan hanya kepadaNya agar dilindung daripada penghasut atau pembisik iaitu syaitan. Syaitan sentiasa membisik dan melemparkan hasutan kedalam hati manusia, yang mana ia menakut-nakutkan, juga berupa syak wasangka yang buruk, atau mencantik-cantikkan perkara yang buruk, atau memburuk-burukkan perkara yang bagus. Syaitan selalunya akan menghasut manusia ketika mana mereka lupa pada Pencipta mereka. Dalam ayat ke 4, Allah menyebut “الخناس” yang bermakna yang timbul dan tenggelam. Ini adalah sifat bagi syaitan dari golongan jin yang akan tenggelam ataupun ghaib ketika manusia mengingati Allah, dan akan timbul ataupun datang semula berbisik ketika manusia lalai dan leka.
Selain itu terdapat juga syaitan dari golongan manusia sendiri. Mereka adalah golongan manusia yang bertindak seperti syaitan jin, yang melemparkan fitnah, yang menghasut manusia kepada kejahatan, mencampur adukkan perkara yang penting dengan yang merbahaya (dalam aqidah), yang menyebarkan kata-kata berbaur penyelewengan, dan juga setiap hasutan yang membawa kemudharatan dan kesesatan. Dikatakan bahawa kejahatan hasutan syaitan golongan manusia keatas manusia adalah lebih berbahaya dari hasutan syaitan berbentuk jin keatas manusia. Ini kerana syaitan dari golongan jin akan terlucut dari hati manusia dengan isti’azah dan seumpamanya, manakala syaitan dari golongan manusia tidak terlucut dengan itu.
Oleh itu, marilah sama-sama kita memohon dari Allah Raja dan Pencipta sekalian alam, agar dilindungi, dikuatkan dan dijauhkan daripada kejahatan bisikan-bisikan dan hasutan-hasutan syaitan dari golongan jin dan manusia.
Pintu yang digunakan syaitan mengikut Iman Al-Syafie
· Perasaan marah
· Nafsu syahwat
· Perasaan tamak dan dengki
· Kenyang
· Cinta kepada perhiasan dan harta benda
· Bergantung kepada manusia
· Gopoh gapah dan terburu nafsu
· Cinta kepada wang ringgit dan emas
· Kedekut dan bakhil
· Fanatik mazhab dan kelompok
· Berfikir berkenaan zat,sifat dan af’al atau perbuatan Allah tanpa ilmu
· Mudah berburuk sangka terhadap orang Islam.
TIGA TANDA ORANG BERHASAD DENGKI
Luqman Al-Hakim ada memberi nasihat panjang Luqman anaknya yang diriwayatkan oleh Al-Muharbi,daripada Sufyan Ats-Thaury.Antara kata-kata hikmahnya adalah:
“Hai anakku!Janganlah engkau letakkan kebaikanmu itu, kecuali di sisi penjaganya.Hal ini seperti tidak ada persahabatan antara kambing biri-biri dan serigala.Begitu jugalah tidak ada persahabatan antara orang yang baik dan yang jahat.”
“Hai anakku!Jadilah engkau hamba kepada orang yang baik dan janganlah engkau jadi sahabat kepada orang yang jahat.”
“Hai anakku!Jadilah engkau orang kaya,nescaya engkau menjadi orang yang dipercayai.”
“Hai anakku!Janganlah enkau meminta sesuatu perkara dari belakang dan janganlah engkau menolaknya dari depan.Hal ini kerana yang demikian itu akan memperlekehkan pandangan dan mencela akal fikiranmu.”
“Hai anakku!Sekiranya engkau beradab walaupun sedikit,engkau akan peroleh faedah yang banyak.”
“Hai anakku!Lakukanlah kebaikan itu untuk ahlinya dan janganlah engkau meletakkannya pada yang bukan ahlinya,nescaya engkau akan rugi di dunia ini dan mengharamkan pahalanya di akhirat kelak.”
“Jadilah engkau orang yang bersederhana dan janganlah boros.Juga janganlah engkau memegang harta dengan kedekut dan janganlah memberinya dengan boros”
“Hai anakku!Lazimilah dirimu dengan hikmah,nescaya engkau akan memuliakan dengannya kerana tuan bagi akhlak hikmah adalah agama ALLAH”
Luqman berkata lagi:
“Hai anakku!Ada tiga tanda bagi orang yang berhasad dengki itu.Dia akan mengumpat sahabatnya apabila kawannya tiada,akan memujuk apabila dia melihat dan akan bergembira dengan musibah yang menimpa sahabatnya.”
Beliau juga berpesan:
“Hai anakku!Barang siapa yang memikul sesuatu yang dia tidak terdaya,dia akan menjadi lemah dan barang siapa yang berasa kagum dengan dirinya sendiri akan binasa.Dan barang siapa yang bersikap takbur serta menyombong diri terhadap manusia akan menjadi hina”
Seterusnya katanya:
“Hai anakku!Janganlah engkau bergaul dengan orang yang bodoh.Walaupun dia memiliki rupa yang iondah,namun dia seperti pedang,baik pemandangannya tetapi amat buruk kesannya.”
“Hai anakku!Berwaspadalah engkau dari sahabat yang jahat kerana sesungguhnya dia umpama pedang yang dihunuskan (dari sarungnya).Pandangannya mengagumkanmu sedangkan kesannya amat buruk.”
Dalam kitab Bahjatul Majalis,Luqman berkata kepada anaknya:
“Hai anakku!Merendah dirilah engaku dengan kebenaran,nescaya engkau menjadi manusia yang paling berakal.”
“Hai anakku!Barang siapa yang terlalai dalam permusuhan, dia akan dimusuhi dan barang siapa yang melampau dalamnya,dia telah berdosa.Maka,berkatalah dengan yang hak walaupun ia terkena dirimu dan janganlah engkau peduli orang yang marah.”
“Hai anakku!Janganlah engkau bertengkar dengan orang yang bijaksana serta janganlah engkau bermujadalah dengan orang yang gagap.Juga janganlah engkau bergaul dengan orang yang zalim serta janganlah engkau bersahabat dengan orang yang tertuduh.”
“Sesungguhnya orang yang pertama kali berbuat dengki di langit ialah iblis terkutuk, maka berlanjutanlah sifat dengki itu seperti yang ada. Dan orang yang pertama kali melakukan dengki di dunia ialah Qabil pada saat dia berhasad dengki terhadap saudara kandungnya yakni Habil, maka berlanjutanlah sifat dengki seperti yang ada. Maka cukuplah perbuatan keduanya itu sebagai nasihat dan pengajaran bagi mereka yang berfikir.”
Rasulullah s.a.w. bersabda;
Yang bermaksud: “Sesungguhnya pada nikmat Allah ta’ala itu terdapat musuh-musuh. Baginda ditanya: “Siapakah musuh-musuh itu ya Rasulullah? Baginda menjawab, Mereka ialah orang-orang yang berhasad dengki terhadap orang lain atas anugerah yang diberikan oleh Allah.”
Perasaan buruk ini boleh wujud di dalam hati manusia disebabkan manusia itu mempunyai rasa permusuhan dan kebencian. Dalam erti kata yang lain, dia tidak merasa bahawa berbaik-baik sesama manusia dan sayang-menyayang dengan saudara seislam adalah keperluan bagi kekuatan umah, yang menyumbang rasa bahagia bagi jiwa seorang muslim. Orang yang berada dalam lingkungan ini sudah pasti tidak gemar untuk menyumbang kebajikan kepada orang lain ataupun mendengar kebahagiaan yang dimiliki oleh saudaranya (seislam).
Hasad dengki juga lahir disebabkan merasa dirinya berada dalam kedudukan yang lebih tinggi dan mulia berbanding orang lain. Apabila dia melihat keadaan orang lain yang mempunyai kebaikan atau kelebihan yang tidak dimilikinya, dia menjadi rasa tercabar. Perasaan tersebutlah yang dinyatakan sebagai dengki.
Orang yang mudah merasa iri hati terhadap orang lain biasanya amat menyukai kedudukan sebagai pemimpin atau ketua. Dia tidak mahu ada orang lain yang dapat menyainginya. Orang-orang sebegini sudah pasti tidak merasa senang apabila melihat ada orang yang lebih berwibawa dan berpengaruh daripadanya.
Sebagaimana kisah Habil dan Qabil tadi, hasad dengki merupakan sifat yang boleh memberikan kesan buruk kepada diri pengamalnya. Sekurang-kurangnya terdapat lapan kesan buruk yang boleh timbul akibat dari sifat dengki ini;
1) Sifat dengki mengakibatkan terhapusnya amalan baik yang pernah dilakukan oleh seseorang. Apabila seorang muslim melakukan kebaikan, dia akan beroleh pahala. Malangnya, apabila dia mempunyai sifat dengki terhadap orang lain, amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukannya akan terhapus disebabkan perasaan dengki tersebut.
Sabda Rasulullah s.a.w.: “Jauhilah olehmu sekalian akan sifat dengki, kerana sesungguhnya dengki itu menghapuskan kebaikan, sebagaimana api menghanguskan kayu bakar.” Yakni, boleh menyebabkan kufur.
2) Perasaan dengki mendorong diri seseorang untuk membuat kemungkaran dan penderhakaan terhadap Allah dalam bentuk yang lain. Apabila hasad dengki telah bersarang di dalam dada seseorang, maka dia akan meluahkan perasaan itu dalam bentuk umpatan (ghibah), berkata bohong, mencaci dan memburuk-burukkan seseorang. Dengan harapan kelebihan atau kebaikan pada orang yang didengkinya itu akan hilang.
Dari Dhamrah bin Tha’labah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Yang bermaksud: “Manusia itu adalah baik selama mana mereka tidak saling dengki-mendengki.”
3) Sifat dengki akan menyebabkan seseorang itu kehilangan syarat untuk menerima syafa’at pada hari kiamat.
Syafa’at adalah suatu anugerah yang tidak ternilai harganya bagi seseorang yang menerimanya ketika Hari Akhirat. Ini kerana, seseorang yang menerima syafa’at diberi izin untuknya membantu orang-orang lain yang mengalami pelbagai kesusahan dan azab ketika hari perhitungan. Jadi, tentulah amat malang bagi mereka yang mempunyai perasaan hasad dengki dan iri hati ketika hidup kerana perasaan ini berupaya menjadi penghalang yang amat besar baginya untuk menerima manfaat syafa’at pada hari akhirat yang boleh memudahkannya untuk menempuh pelbagai rintangan dan azab pada hari dia dihisab. Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. dari Abdullah bin Basyar, Rasulullah bersabda:
Yang bermaksud: “Tidak termasuk golonganku si pendengki, orang mengadu domba, orang yang mempunyai ilmu menilik dan akupun tidak dari golongannya.”
Kemudian baginda membaca ayat al-Qur’an:
Yang maksudnya berbunyi: “Orang-orang yang menyakiti hati orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan di atas perkara yang tidak dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu telah melakukan dusta dan dosa yang nyata.”
4) Oleh sebab dengki merupakan sifat yang menempah dosa, maka tentulah ia akan menyebabkan pengamalnya akan humbankan ke dalam neraka sekiranya dia tidak bertaubat. Rasulullah s.a.w. bersabda yang antara lain bermaksud;
“Rasulullah telah ditanya mengenai enam golongan yang akan ditempatkan ke dalam neraka. Rasulullah menjawab., Enam golongan orang yang akan dimasukkan ke dalam neraka ialah, pemerintah yang menganiaya, orang Arab dengan sifatnya yang fanatik, penjajah dengan keangkuhan mereka, usahawan dengan perbuatan khianat, orang kampung dengan kebodohan mereka dan para ulama dengan sifat dengki mereka.”
5) Sifat dengki juga akan menyebabkan seseorang itu boleh melakukan perkara yang boleh memudaratkan orang lain. Contoh yang paling mudah adalah dengan melihat kisah Habil dan Qabil pada awal perbincangan tadi. Hasad dengki dan dendam kesumat yang wujud dalam perasaan Qabil telah menyebabkan kematian Habil. Di dalam hal ini, Habil telah menerima kemudaratan yang amat dahsyat disebabkan rasa hasad abang kandungnya sendiri. Apabila seseorang telah melakukan kemudaratan kepada orang lain, tentulah kesan buruknya akan pulang semula kepada dirinya. Selain itu, pengajaran lain yang boleh didapati di sini, kita seharusnya memohon perlindungan dari kejahatan orang yang berhasad dengki. Di dalam hal ini Allah s.w.t. telah menyentuh perkara ini dalam firmannya yang bermaksud;
“…dan dari kejahatan orang yang mendengki.”
6) Memiliki hasad dengki akan hanya menyebabkan kesusahan dan kesulitan kepada pemiliknya. Orang yang memiliki sifat ini tidak pernah merasa selesa dengan keadaan dirinya sendiri. Tidak ada ketenangan dalam dirinya kerana hanya memikirkan kelebihan dan kebaikan orang-orang yang berada di sekelilingnya dan merasakan dirinya juga wajar untuk memiliki kelebihan tersebut.
7) Hasad dengki yang berada di dalam hatinya akan menghalang pintu hatinya daripada memahami secara sebenarnya tentang ilmu-ilmu agama dan perkara-perkara mengenai hukum hakam. Hatinya akan menjadi gelap dan sesungguhnya orang-orang ini akan berada dalam kerugian. Ini kerana orang lain dapat memahami dengan mudah mengenai ilmu-ilmu agama, dan kesannya perhubungannya di antara hamba dengan Pencipta akan menjadi semakin dekat berbanding dengan orang yang mempunyai hasad dengki. Oleh sebab tidak ada keinsafan dalam dirinya, maka perhubungannya dengan Allah s.w.t. menjadi semakin jauh. Kata Sufyan dalam hal ini;
“Jangan engkau menjadi orang yang dengki lagi mudah membuat kesimpulan.”
8) Orang yang mempunyai hasad dengki akan sentiasa terhalang dari mendapat kebaikan dan keuntungan, bahkan dia menguntungkan musuh-musuhnya.Ini kerana, orang-orang yang mempunyai rasa dengki lazimnya akan merasa iri hati pada orang-orang yang baik, yang sewajarnya menjadi orang yang dikasihinya sebagai saudara seagama. Walaupun demikian, disebabkan sikapnya yang buruk itu, musuh-musuh orang yang didengkinya itu akan lebih beruntung. Tugas musuh-musuh ini akan menjadi lebih mudah untuk menjatuh atau memusnahkan orang yang mempunyai kebaikan dan kelebihan tersebut.
Selain itu, sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, sikap ini akan merugikan orang yang berhasad dengki. Oleh sebab dia telah menjauhkan dirinya dari orang-orang yang didengkinya dan pada masa yang sama dia juga tidak mendapat manfaat daripada musuh-musuh orang yang didengkinya. Maka, dia sebenarnya telah meminggirkan dirinya dari semua orang. Keadaan ini sesuai dengan satu kata-kata hikmat yang mengatakan;
“Orang yang berhasad itu tidak akan menuai hasil keuntungan.”
Jika dilihat kepada akibat yang bakal diterima oleh mereka yang mempunyai perasaan ini, maka kerugian yang perlu ditanggung amat besar nilainya. Jadi, tentulah amat malang bagi mereka yang tidak melakukan apa-apa untuk menahan daripada perasaan ini wujud. Islam memberi panduan dan pedoman bagi mereka yang mahu menyelamatkan diri dari belenggu dosa ini.
Ilmu dan takwa adalah senjata sebenar yang dapat melawan perasaan yang boleh menjahanamkan manusia ini. Ilmu yang dimiliki oleh manusia dapat memberi amaran tentang akibat-akibat yang bakal diterima sekiranya perasaan ini diamalkan. Peminggiran dari aspek sosial sebenarnya adalah kerugian yang amat besar bagi seseorang manusia yang ingin diterima masyarakat. Melalui ilmu juga, seseorang manusia akan berusaha untuk mencapai darjah ketakwaan.
Ketakwaan seorang hamba pula akan menjadikan seseorang manusia itu menginsafi akan kewujudannya di bumi ini. Di dunia ini, sebagai seorang khalifah dia diperintahkan untuk memakmurkan muka bumi ini, menyayangi sesama umat Islam, berlaku adil, membuat kebaikan dan meninggalkan segala keburukan dan kejahatan. Dia akan sanggup melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah. Dia meyakini bahawa sebaik-baik umat manusia adalah yang paling bertakwa kepada Allah.
Kesimpulannya, hasad dengki hanya akan menyebabkan kerugian kepada orang yang memilikinya dan kepada agama Islam sendiri. Bagi individu yang memilikinya, dia akan terpinggir dari hidup bermasyarakat, mempunyai perasaan yang sentiasa tidak aman dan akan menyebabkannya melakukan perkara-perkara yang lebih keji. Apabila dia berada di akhirat, akan menanggung kerugian yang lebih besar, tidak tertanggung dan menempah penyesalan yang tidak terkira kerana tidak layak untuk menerima dan mendapat syafa’at dan tidak ditempatkan dalam tempat yang penuh kebaikan, kemewahan dan keberkataan, yakni syurga. Walaupun kerugian itu ditanggung secara personal oleh pengamalnya, akan tetapi ia juga memberi kesan yang tidak baik kepada ukhuwwah islamiyyah. Umat Islam akan menjadi tidak bersatu dan tidak akan menjadi sebuah umat yang kuat sekiranya sifat ini diamalkan oleh orang-orang Islam. Akhirnya, umat Islam secara keseluruhannya yang akan rugi.
Walaupun demikian, sebenarnya terdapat sedikit ruang atau keringanan dalam perkara dengki. Sebenarnya, tidaklah jatuh haram atau berdosa sekiranya seseorang itu merasa iri hati apabila memandang kelebihan dan kebaikan yang dimiliki oleh orang lain tanpa harapan atau cita-cita untuk melihat kelebihan tersebut hilang dan lenyap dari pemiliknya.