Monday, August 23, 2010

Larangan Berhasad Dengki


Terjemahan hadis:
Sabda Rasulullah s.a.w. Tidak dibenarkan berhasad kecuali pada dua perkara sahaja iaitu seorang yang dikurniakan oleh Allah hartabenda maka ia membelanjakannya pada jalan yang benar dan seorang dikurniakannya ilmu pengetahuan lalu ia mencari kehidupan dengannya dan ia mengajarkannya.

Huraian Hadis
Satu daripada sifat buruk yang dikutuk oleh ugama dan masyarakat ialah "hasad" iaitu perasaan tidak senang hati dengan kelebihan-kelebihan yang dicapai oleh seorang lain dan ia berusaha pula untuk menghapus dan melenyapkan kelebihan-kelebihan itu daripadanya.

Sifat hasad ini amatlah keji sekali kerana ia boleh mendatangkan akibat buruk bukan sahaja kepada orang yang dengki, bahkan kepada masyarakat seluruhnya, kerana segala kebaikan akan lenyap dan terhapus. Dalam hadisnya yang lain pula Rasullullah bersabda:
Ertinya: Sifat hasad itu boleh memakan segala kebaikan seorang bagaimana api membakar kayu api.
Satu sifat lain yang bertentangan dengan hasad ini ialah sifat "GHIBTOH"....
Iaitu seorang yang bercita-cita dan berusaha untuk mendapatkan kelebihan-kelebihan seperti mana yang didapati oleh orang lain tanpa ia berniat untuk menghancurkannya.
Sifat ini amatlah terpuji dan dikehendaki ada pada tiap-tiap orang, kerana dengannya boleh mendatangkan kebaikan dan kemajuan hidup.

Dalam hadisnya di atas Rasullullah menjelaskan bahawa seorang yang dikurniakan harta kekayaan dan ia telah menggunakan harta itu pada jalan-jalan yang benar, seperti untuk menunaikan haji, membayar hutang dan untuk jalan-jalan yang memberi faedah seperti membina rumah anak yatim, rumah orang tua, orang cacat dan lainnya. Kemudian ada orang lain yang hendak mendapatkan harta kekayaan seperti itu untuk digunakan pada jalan-jalan yang baik juga maka keadaan seperti itu tidak dikatakan hasad dengki bahkan dikatakan yang sangat digalakkan, demikian juga halnya dengan seorang yang dikurniakan ilmu pengetahuan dan ia telah menjalani kehidupan dengan ilmu pengetahuan yang didapatinya itu dan mengajar orang lain pula.

Oleh yang demikian tiap-tiap orang Islam hendaklah menjauhkan diri daripada hasad dengki, dan sebaliknya hendaklah ada sifat "GHIBTOH"....
Iaitu inginkan kemajuan dan kebaikan sebagaimana yang telah dicapai oleh orang lain dan seterusnya hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan lebih banyak dan janganlah berperasaan memadai dengan apa yang telah ada, dengan itu kehidupan kita akan berjalan dengan baik dan dipandang tinggi oleh masyarakat ramai.

Pengajaran Hadis:
Di antara pengajaran yang dapat difahamkan ialah:
Kita mesti menjauhkan diri kita daripada sifat-sifat buruk seperti hasad dengki dan sebagainya.
Kita dikehendaki berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kekayaan dan pengetahuan sebagaimana yang didapati oleh orang lain.
Kita juga dikehendaki berlumba-lumba dengan tujuan mendapatkan kemajuan dan kebahagiaan hidup.

Ruginya Orang Yang Berhasad Dengki dan Menghasut Serta Menceritakan Keburukan Orang Lain
Salah satu tanda-tanda orang yang berhasad dengki ialah suka membuka keburukan orang lain dan menyebarkannya secara nyata. Orang yang menganiaya orang lain (mencari dan membuka keburukan orang yang didengkinya) sukar mendapat keampunan, dan mudah sekali dimasukkan ke dalam neraka. Mencerita keburukan orang lain adalah termasuk dalam perbuatan menghasut.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w.: "Jika kau hasad maka jangan kau lanjutkan, dan jika menyangka maka jangan kau buktikan (jangan kau cari-cari kenyataannya) dan jika merasa takut dari sesuatu maka hadapilah (jangan mundur)."

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Ingatlah bahawa nikmat-nikmat Allah s.w.t. ada musuhnya." Ditanya: "Siapakah musuh-musuh nikmat Allah s.w.t. itu, ya Rasulullah?"

Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ialah mereka yang hasut terhadap nikmat kurniaan Allah s.w.t. yang diberikan kepada manusia."

Antara nikmat-nikmat yang dapat dinikmati ole manusia termasuklah kekayaan, populariti, pangkat, kebahagiaan, kesihatan, fizikal yang menarik, bakat dan kebolehan luar biasa dalam satu-satu perkara.

Alhasan Albashri berkata: "Hai Anak Adam, mengapakah engkau iri hati terhadap saudaramu, maka jika Allah s.w.t. memberi sesuatu kepada orang yang kau hasut itu kerana kemuliaannya di sisi Allah s.w.t. maka untuk apakah kau hasut kepada orang yang dimuliakan Allah s.w.t., jika tidak demikian maka untuk apakah kau hasut kepada orang yang akan masuk ke neraka?"

Jadi, daripada kita menceritakan atau mendedahkan keburukan orang lain, lebih baik jika secara sulit atau peribadi menemui orang itu untuk menegur atau menasihatinya.

Sabda junjungan Agung kita semua umat Islam Baginda Rasulullah s.a.w: Sampaikanlah apa yang kamu dapat daripadaku walau hanya satu ayat.

Abul Laits Assamarqandi r.a. meriwayatkan dengan sanadnya daripada Alhasan berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Hasad dan dengki itu keduanya akan memakan habis hasanat sebagaimana api makan kayu."

Ibrahim bin Aliyah daripada Abbad bin Ishaq daripada Abdurrahman bin Mu'awiyah berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tiga macam sifat yang tidak dapat selamat daripadanya seorang pun iaitu:
Buruk sangka
Hasad dengki
Takut sial kerana sesuatu
Lalu ditanya: "Ya Rasulullah, bagaimana untuk selamat daripada semua itu?"

Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Jika kau hasad maka jangan kau lanjutkan, dan jika menyangka maka jangan kau buktikan (jangan kau cari-cari kenyataannya) dan jika merasa takut daripada sesuatu maka hadapilah (jangan mundur)."

Yakni jika hasad dalam hatimu maka jangan kau lahirkan dalam amal perbuatanmu sebab selama hasad itu masih dalam hati, maka Allah s.w.t. maafkan selama belum keluar dengan lidah atau perbuatan. Jika su'udhdhan (buruk sangka) maka jangan kau buktikan, jangan berusaha menyelidiki mencari kenyataannya. Demikian pula jika akan keluar untuk sesuatu lalu ada suara burung atau lain-lain yang menimbulkan was-was atau takut dalam hati maka teruskan hajatmu dan jangan mundur."

Manusia Yang Berhasad Dengki Adalah Manusia Biadab Terhadap Allah
Nabi Muhammad s.a.w. suka kepada fa'al (kata-kata yang baik atau harapan yang baik) dan tidak suka thiyarah (takut sial kerana burung dan sebagainya) dan bersabda: "Thiyarah itu perbuatan jahiliyah." Seorang mukmin tidak takut dan berlindung kepada Allah s.w.t.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Jangan benci membenci dan jangan hasut menghasut dan jangan menawar barang untuk menjerumuskan orang lain dan jadilah kamu hamba Allah sebagai saudara."

Abul Laits berkata: "Tiada sesuatu yang lebih jahat daripada hasut, sebab penghasut itu akan terkena lima bencana sebelum terkena apa-apa yang dihasut iaitu:
Risau hati yang tak putus-putus
Bala yang tidak berpahala
Tercela yang tidak baik
Dimurka Allah S.W.T
Tertutup padanya pintu taufiq

Manusia Yang Berhasad Dengki Adalah Manusia Yang Memusuhi Nikmat Allah
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Ingatlah bahawa nikmat-nikmat Allah s.w.t. ada musuhnya." Ditanya: "Siapakah musuh-musuh nikmat Allah s.w.t. itu, ya Rasulullah?"

Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ialah mereka yang hasut terhadap nikmat kurniaan Allah s.w.t. yang diberikan kepada manusia."

Malik bin Dinaar berkata: "Saya dapat menerima persaksian orang qurraa' terhadap siapapun tetapi tidak dapat menerima persaksian terhadap sesama qurraa' sebab diantara mereka ada rasa iri hati dan hasut menghasut." Abuhurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Enam kerana enam akan masuk neraka pada hari kiamat sebelum hisab (perhitungan amal) iaitu:
Pemerintah kerana zalim
Orang kerana fanatik (mengutamakan kebangsaan)
Kepala desa kerana sombong
Pedagang kerana kianat
Orang dusun kerana kebodohan
Ahli ilmu kerana hasut
Yakni ulama yang hanya berebut dunia, mereka hasut satu sama lain, kerana itu seharusnya seseorang menuntut ilmu kerana Allah s.w.t. dan akhirat supaya tidak timbul hasut menghasut antara satu pada yang lain. Sebagaimana firman Allah s.w.t. mengenai orang-orang Yahudi (Yang berbunyi): "Am yahsudunan naasa ala maa ataahumullahu min fadhlihi." (Yang bermaksud): "Ataukah mereka hasut pada orang-orang kerana Allah memberikan kurniaNya kepada mereka."

Hasut dan Iri Hati - Dosa Pertama Di Langit
Seorang cendekiawan berkata: "Awaslah dari hasut (iri hati) sebab hasut itu pertama-tama dosa di langit dan juga pertama dosa yang terjadi di bumi. Iblis laknatullah diperintah sujud pada Nabi Adam a.s. akan tetapi oleh kerana ia irihati (hasut) sehingga menolak perintah Allah s.w.t. dan dia dikutuk oleh Allah s.w.t. dan juga Qabil membunuh Habil kerana irihati, hasut sebagaimana tersebut didalam ayat (yang berbunyi: "Watlu alaihim naba'abnai Adama bilhaqqi idz qorrabaa qurbana, qaala la aqtulannaka qaala innama yataqabbalullahu minal muttaqien." (Yang bermaksud): "Bacakanlah berita kedua putera Adam ketika sama-sama mengajukan korbannya, maka diterima yang satu dan ditolak yang lain, lalu ia berkata: "Saya akan membunuh engkau." Jawabnya: "Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa."

Al-Ahnaf bin Qays berkata: "Orang hasut tidak dapat senang dan orang bakhil tidak berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan orang yang selalu jemu dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang kianat dan tiada budi bagi orang yang rosak moral (tidak berakhlak).

Alhasan Albashri berkata: "Hai Anak Adam, mengapakah engkau iri hati terhadap saudaramu, maka jika Allah s.w.t. memberi sesuatu kepada orang yang kau hasut itu kerana kemuliaannya di sisi Allah s.w.t. maka untuk apakah kau hasut kepada orang yang dimuliakan Allah s.w.t., jika tidak demikian maka untuk apakah kau hasut kepada orang yang akan masuk ke neraka?"

Abul Laits berkata: "Tiga macam orang yang tidak akan diterima doanya iaitu:
Orang yang makan haram
Orang yang suka membicarakan kejelekkan orang
Siapa yang di dalam hatinya ada hasut iri hati terhadap kaum muslimin
Ibn Syihab (Azzubri) dari Salim dari ayahnya (Ibn Umar) r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tidak boleh seorang hasut kecuali dalam dua macam iaitu:

Seorang yang diberikan Allah s.w.t. kepandaian dalam Al-Quran maka digunakan siang malam (diamalkan)
Seseorang yang diberikan Allah s.w.t. kekayaan maka ia bersedekah siang malam.

Abul Laits berkata: "Yakni rajin sesungguh-sungguhnya ingin meniru perbuatan itu dalam ilmu dan kekayaannya, maka ini adalah baik. Maka jika ia ingin berubah orang yang baik itu maka ia jahat kerana Allah s.w.t. telah berfirman (Yang berbunyi): "Wala tatamannau maa fadhdhalallhu ba'dhakum ala ba'dhin." (Yang bermaksud): "Jangan menginginkan apa yang diberikan Allah sebagai kurnia kepada setengahmu atas yang lain."

Dalam ayat yang lain pula Allah s.w.t. berfirman (Yang berbunyi): " Was'alullaha min fadh lihi." (Yang bermaksud): "Kami sendiri minta kepada Allah dari kurniaNya."

Maka kewajipan tiap muslim membersihkan daripada hasut sebab hasut itu menentang hukum Allah s.w.t. dan ketentuan kurnia yang diberikan Allah s.w.t. kepada seseorang hamba yang diredhai-Nya.

Al-alaa' bin Abdurrahman daripada ayahnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata: "Ia bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. tentang kewajipan seorang muslim terhadap sesama muslim?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Hak kewajipan seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam iaitu:
Jika bertemu harus diberi salam
Jika mengundang harus didatangi
Jika diminta nasihat harus ditunjukkan yang benar (dinasihati)
Jika bersin dan mebaca Alhamdulillah harus didoakan dengan berdoa Yarhamukallah
Jika sakit harus diziarah
Jika mati harus dihantar jenazahnya
Abul Laits meriwayatkan dengan sanandnya daripada Anas bin Malik r.a. berkata: "Saya telah menjadi pelayan Nabi Muhammad s.a.w. sejak berumur lapan tahun dan pertama yang diajarkan Nabi Muhammad s.a.w. kepadaku: "Ya Anas, tetapkan wudukmu untuk sembahyang supaya dicinta oleh Malaikat yang menjagamu, dan ditambah umurmu. Ya Anas, mandilah daripada janabat dan sempurnakan di dalam mandi itu sebab di bawah tiap helai rambut ada janabat."

Saya bertanya: "Bagaimana menyempurnakannya?"

Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Puaskan sampai ke dalam rambut-rambutmu dan bersihkan benar kulitmu, supaya engkau keluar dari tempat mandi sudah diampunkan dosa-dosamu. Ya Anas, jangan engkau tinggalkan sembahyang dhuha sebab itu sembahyangnya orang-orang awwaabiin (yang taubat kembali kepada Allah s.w.t.) dan perbanyakkan sembahyang malam dan siang sebab selama engkau sembahyang maka Malaikat mendoakan untukmu. Hai Anas, jika engkau berdiri sembahyang maka tegakkan dirimu di hadapan Allah s.w.t. dan jika rukuk maka letakkan kedua tapak tangan di lututmu dan renggangkan jari-jarimu dan renggangkan kedua lenganmu dari pinggangmu, dan bila bangun dari rukuk maka tegakkan sehingga kembali semua anggota di tempatnya, dan jika sujud maka letakkan wajahmu di tanah dan jangan sebagai burung yang mencucuk makanan dan jangan kau hamparkan kedua-dua lenganmu sebagaimana pelanduk, dan jika duduk di antara dua sujud maka jangan sebagaimana duduk anjing dan letakkan kedua bokongmu di antara dua kaki dan letakkan bahagian atas tapak kaki di tanah sebab Allah s.w.t. tidak melihat sembahyang yang tidak sempurna rukuk sujudnya. Dan jika dapat engkau tetap berwuduk siang malam maka kerjakanlah, sebab jika tiba mati kepadamu engkau sedang berwuduk, maka engkau tidak luput dari mati syahid. Hai Anas, jika engkau masuk ke rumahmu maka berilah salam kepada keluargamu, supaya banyak berkat rumahmu dan jika engkau keluar untuk hajat maka beria salam pada tiap muslim yang bertemu kepadamu supaya masuk manisnya iman dalam hatimu, dan kila terkena dosa ketika keluar maka akan kembali sudah diampunkan dosamu. Hai Anas, jangan sampai pada waktu siang dan malam engkau mendendam dengki kepada seorang muslim sebab itu daripada ajaranku maka siapa yang mengikuti ajaranku bererti cinta kepadaku dan siapa yang cinta kepadaku maka ia bersamaku di syurga. Hai Anas, jika engkau melakukan dan mengingati wasiatku ini, maka tidak ada sesuatu yang lebih suka daripada maut sebab di situlah istirehatmu."

Di dalam ajaran Nabi Muhammad s.a.w. ini dinyatakan bahawa membersihkan hati daripada dengki dan hasut kepada seseorang muslim termasuk Sunnaturrasul yang menjadi tanda cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w. bagi siapa yang melakukannya, bahkan bersama Nabi Muhammad s.a.w. siyurga. Maka wajib tiap muslim membersihkan hatinya daripada rasa dengki dan hasut sebab termasuk amal yang utama.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya daripada Anas r.a. berkata: "Ketika kami di masjid bersama Nabi Muhammad s.a.w. tiba-tiba Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: ""Akan masuk kepadamu seorang ahli syurga sambil memegang kedua-dua kasutnya dengan tangan kirinya."

Maka tiba-tiba masuk seorang sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu dan sesudah memberi salam ia duduk bersama kami. Kemudian pada esok harinya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda pula dan masuk kembali orang itu seperti keadaan kelmarin dan hari ketiga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, juga sama seperti hari pertama dan kedua, dan ketika orang itu bangun untuk kembali diikuti oleh Abudullah bin Amr Al-ash dn berkata kepada orang itu: "Telah terjadi pertengkaran sedikit antaraku dengan ayahku sehingga aku bersumpah tidak akan masuk ke rumah selama tiga malam, maka jika engkau tidak keberatan maka saya akan bermalam di rumahmu selama itu?"

Jawabnya: "Baiklah." Anas berkata: "Abdullah bin Amr menceritakan bahawa ia bermalam di rumah orang itu dan ternyata bahawa orang itu tidak bangun malam, hanya jika tidur berzikir sehingga bangun fajar dan jika berwuduk sempurna dan sembahyang dengan khusyuk dan tidak puasa sunat.

Demikian saya perhatikan kelakuannya sampai tiga hari tiga malam, tidak lebih dari itu dan hanya saja ia tidak berkata-kata kecuali yang baik-baik. Dan setelah tiga malam saya merasa bahawa ia tidak mempunyai amal yang berlebihan dan saya kata kepadanya: "Sebenarnya antara aku dengan ayahku tidak ada apa-apa, tetapi saya telah mendengar Nabi Muhammad s.a.w. bersabda di dalam tiga majlis: "Akan tiba kepadamu seorang ahli syurga." tiba-tiba engkau datang dan kerana itu saya ingin mengetahui amalmu, maka saya berusaha bermalam di rumahmu untuk meniru amalmu tetapi ternyata kepadaku bahawa engkau tidak berlebihan, maka apa yang kiranya menyebabkan engkau sehingga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda sedemikian?"

Jawabnya: "Tidak lain melainkan apa yang sudah engkau lihat itu."

Maka pergilah aku, tetapi lalu dipanggil olehnya dan berkata: "Amalku tidak lebih melainkan apa yang engkau saksikan itu, cuma saja saya tidak iri hati atau dengki kepada seseorang muslim terhadap segala yang ia dapat."

Maka saya katakan: "Inilah yang menyampaikan engkau sehingga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda sedemikian itu dan itulah yang tidak dapat kami lakukan."

Seorang cendekiawan berkata: "Orang hasut telah menentang Allah s.w.t. dengan lima hal iaitu:
Kerana ia membenci nikmat Allah s.w.t. terhadap orang lain
Dia tidak suka pembahagian Allah s.w.t. untuk dirinya seolah-olah ia berkata: "Mengapa Engkau membagi begini?"
Ia bakhil terhadap kurniaan Allah s.w.t.
Dia menghina waliyullah sebab ia ingin tercabut nikmat Allah s.w.t. yang diberikan kepadanya
Dia membantu kepada iblis laknatullah
Orang yang hasut tidak memperolehi dalam pergaulan kecuali hina dan kerendahan dan daripada Malaikat kecuali laknat (kutukan) dan benci, dan jika sendirian hanya kerisauan dan duka dan ketika nazak (sakartul maut) hanya kesukaran, keberatan dan ketakutan dan pada hari kiamat kecuali malu dan seksa, kemudian dalam neraka tempat bakarannya."

Oleh itu janganlah anda ada rasa dengki atau iri hati terhadap kebahagiaan, kegembiraan, kesenangan, populariti, pangkat, kemewahan, kecantikan rupa paras, bakat dan kebolehan luar biasa yang ada pada diri orang lain.Wallahuallam..